Sejarah Sekolah

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad adalah berasal dari nama Madrasah Irshadiah iaitu sebuah sekolah agama rakyat yang terletak di Padang Menora, Tasek Gelugor, Seberang Perai di bawah kelolaan kadzi Tuan Haji Majid bin Haji Ahmad dan adiknya Tuan Haji Shafie bin Haji Ahmad serta dibantu oleh beberapa orang guru termasuklah bekas kadzi besar Pulau Pinang, Allahyarham Tuan Haji Ahmad Maliki dan Tuan Haji Yusuf Helmi bin Haji Shafie. Sekolah ini dibina pada tahun 1936 hasil dari kutipan orang ramai.

Pada tahun 1958, Persatuan Guru-Guru Agama Seberang Perai (PGAS) yang diketuai oleh Ustaz Haji Salleh bin Shafei telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini. Dari saat itulah sekolah ini dikenali dengan nama sekolah PGAS yang terkenal bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi hingga ke Kedah dan juga Perak. Ramai penuntutnya dating dari negeri-negeri tersebut.

Nama sekolah PGAS telah ditukarkan sekali lagi kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil alih pentadbiran sekolah ini pada tahun 1977 bersama empat belas buah sekolah agama lain di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada mulanya pentadbiran sekolah ini dipangku oleh Cikgu Mohd Noor bin Hussein sebelum pengetuanya yang pertama Ustaz Mohd Yusuff bin Haji Latiff yang bertugas dari tahun 1977 hingga 1983. Beliau diganti oleh Ustaz Haji Morat bin Haji Abdul Samad yang bertugas dari tahun 1983 hingga 1985. Pengetua ketiga Ustaz Haji Abdul Salam bin Haji Mohd Zain dari tahun 1985 hingga 1988. Kemudian sekolah ini diterajui Ustaz Haji Rakhibi bin Haji Othman dari tahun 1988 hingga 1997. Puan Hajah Halimah binti Haji Abu Bakar telah dilantik sebagai Pengetua perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad yang kelima pada bulan November 1997 hingga tahun 2000 di mana Tuan Haji Mizal Azman bin Shariff memangku jawatan Pengetua sehingga bulan Oktober 2000. Puan Hajah Salmah binti Ishak telah dilantik sebagai Pengetua pada Disember 2001 sehingga kini.

Sekolah ini bermula di bangunan lamanya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Seberang Perai dengan pengambilan pelajar sulungnya seramai 115 orang ke tingkatan satu pada tahun 1977. Pelajar-pelajar sekolah PGAS yang masih bersekolah disitu juga dibenarkan meneruskan pelajaran mereka hingga tamat. Walaupun bangunannya kecil dan kelengkapannya tidak seberapa, namun pelajar – pelajarnya berjaya mencaapai kejayaan yang memberangsangkan. Oleh itu Kementerian Pendidikan Malaysia telah membina sebuah sekolah baru untuk menggantikannya di Pokok Sena, Kepala Batas yang siap dibina pada tahun 1984. Setelah berpindah ke bangunan baru, bangunan lamanya telah diubahsuai untuk dijadikan asrama cawangan untuk pelajar-pelajar puteri.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Dr Mahathir Mohammad, pada tanggal 3 Ogos 1985 bersamaan 17 Zulkaedah 1405.

Pembentukan sekolah ini dengan matlamat utamanya iaitu menyesuaikan tradisi Islam dengan perubahan-perubahan yang diperlukan oleh masyarakat sekarang tanpa menjejaskan identiti sekolah agama. Pelajaran Agama Islam Tinggi dan Bahasa Arab dijadikan teras di samping pelajaran-pelajaran akademik termasuk juga mata pelajaran sains tulin di mana ianya diperkenalkan di tingkatan empat dan lima. Ia juga bertujuan untuk mendidik pelajar berperibadi Islam yang luhur, bersifat takwa, berakhlak mulia supaya mampu menghadapi cabaran zaman dan menjadi contoh yang ideal kepada masyarakat umum.

Sejak ia ditubuhkan, sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai individu yang berkebolehan dalam bidang agama dan akademik yang dapat memenuhi keperluan agama, masyarakat dan negara. Ramai bekas penunut sekolah ini yang berada di universiti-universiti tempatan dan luar negeri termasuk juga di negara-negara barat dan timur tengah.

Setelah sekolah PGAS diambilalih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, pada tahun 1977 namanya ditukar pula kepada nama Sekolah Menengah Kebangsaan Al-Irshad. Al-Irshad bermaksud ‘Petunjuk’.

Pengetuanya yang pertama ialah Ustaz Yusof bin Haji Abdul Latip @ Latiff. Beliau juga yang mencipta motto atau slogan sekolah ini iaitu ‘IMAN ASAS KEJAYAAN’ yang masih digunakan hingga ke hari ini.

Ustaz Mohammed Yusof bin Abdul Latiff dilahirkan pada 23 Disember 1939 di Permatang Kerai Kecil, Kepala Batas, Seberang Perai. Beliau bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Ara Rendang, Pokok Sena, Kepala Batas. Setelah tamat sekolah rendah beliau menyambung pelajaran di Sekolah Agama Al-Khairiyah Islamiah, Pokok Sena, Kepala Batas. Tidak berapa tahun kemudian, beliau telah melanjutkan pelajaran ke sekolah agama yang amat terkenal di masa dahulu hingga ke hari ini iaitu Maahad Mahmood, Alor Setar, Kedah hingga tamat 4 Thanawi pada tahun 1960.

Disebabkan kebijaksanaan beliau, sekali lagi beliau terpilih ke Kolej Islam Malaya, Klang, Selangor hingga tamat sikil Tertinggi Koleh Islam Malaya dan Diploma Pendidikan Kolej Islam Malaya pada tahun 1964. Peluang keemasan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Kaherah tidak dilepaskan. Beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti yang terkenal di seluruh dunia itu dengan mendapat B.A. Hon. Kuliah Usuluddin pada tahun 1970. Bagi membolehkan beliau menjadi seorang pendidik, beliau telah memperolehi Diploma Pendidikan dengan memasuki Universiti Ain Syam’s, Kaherah pada 1971.

Setelah kembali ke tanah air beliau berkhidmat sebagai Guru Agama Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Tun Mutahir, Batu Berendam Melaka dari tahun 1972 hingga 1974. Setelah dua tahun berjauhan dari sanak saudara beliau kembali ke Negeri Pulau Pinang dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Mertajam, Kampong Baru Bukit Mertajam. Ustaz Mohammed Yusof tidak lama berkhidmat di sekolah ini, Cuma satu tahun sahaja kerana beliau telah dipilih untuk kenaikan pangkat sebagai pengetua Sekolah Kebangsaan Agama Al-Irshad yang pertama pada tahun 1977 hingga 1982.

Disebabkan beliau belum begitu berpengalaman dalam pentadbiran beliau telah dibantu oleh Cikgu Mohd Noor Hussein dan beberapa orang guru lain. Sikapnya yang tegap tetapi lembut membuatkan sesiapa sahaja menghormati dan begitu senang sekali bekerja di bawah beliau.

Setelah berkhidmat selama 5 tahun sebagai Pengetua, beliau telah ditukarkan pula jawatan Pegawai Dakwah Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dari tahun 1983 hingga 1985. Tidak lama kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana dicalonkan untuk bertanding dalam pilihanraya umum. Beliau telah memenanginya dan terpilih sebagai Ahli Parlimen kawasan Tasek Gelugor, Seberang Perai dari tahun 1986 hingga 1989. Kerana ketokohannya beliau sekali lagi telah terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Kawasan Sungai Dua, Seberang Perai dari tahun 1990 hingga 1994. Pada tahun 1988 hingga 1984 Ustaz Mohammad Yusof telah dilantik sebagai Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Selain daripada itu beliau juga banyak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Beliau pernah menjadi Yang Di Pertua ABIM Negeri Pulau Pinang dari tahun 1977 hingga 1981. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Guru Agama Menengah Pulau Pinang dari tahun 1978 hingga 1982. Beliau juga dilantik menjadi Pengerus PIBG Sekolah Kebangsaan Ara Rendang, Pokok Sena, Kepala Batas dari tahun 1986 hingga 1991. Beliau juga pernah menjadi Timbala Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor dari tahun 1987 hingga 1993.

Di atas segala sumbangan beliau beberapa anugerah telah diterima dari Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang iaitu pingat J.P. (Jaksa Pendamai), P.K.T. (Pingat Kelakuan Terpuji), gelaran Datuk. Di atas segala sumbangan beliau, beliau telah terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun 1417/1418 Hijrah.

Demikian serba ringkas biodata pengasa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad.

Artikel yang mungkin kamu cariclose